Pelakon Korea Selatan, Kim Soo Hyun, memberi amaran keras berhubung penyebaran bukti palsu yang dikatakan dikemukakan oleh keluarga mendiang pelakon Kim Sae Ron.

Pihaknya menegaskan tindakan undang-undang serius akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat menyebarkan maklumat tidak sahih tersebut.
Peguamnya, Kho Sang Rok, mendakwa peguam Sae Ron, Bu Ji Seok, dilaporkan telah menerima permintaan untuk ditemu bual oleh sebuah program siasatan berita daripada rangkaian besar yang memulakan penerbitanya minggu lalu.
“Kami mengalu-alukan keputusan peguam Ji Seok untuk memberi temu bual kepada media,” katanya dipetik Korea Times.

Bagaimanapun, Sang Rok berkata, selepas laporan temubual disiarkan, beberapa individu mula menyebarkan dakwaan bahawa keluarga Sae Ron menyerahkan bahan bukti baharu kepada peguam mereka.
“Kami melihat ini sebagai tanda amaran serius yang menunjukkan potensi berulangnya fitnah sama yang pernah menyebabkan kemudaratan teruk kepada pelakon Soo-hyun,” katanya.

Soo Hyun terpalit dengan khabar angin dia menjalin hubungan dengan gadis bawah umur, Sae Ron sejak zaman sekolah menengah, namun agensinya menafikan dakwaan tersebut.

Akibat gosip tersebut, Soo-hyun dilaporkan kehilangan beberapa kontrak kerja dan jenama yang menuntut pampasan.
Soo-hyun telah memfailkan saman sebanyak RM 33.8 juta terhadap keluarga Sae-ron atas tuduhan fitnah dan ganti rugi. –Boom!









