Pempengaruh dan usahawan, Kim Kardashian, dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk membuang nama West daripada nama anak-anaknya akibat isu penjagaan bersama dengan bekas suaminya, Kanye West.

Sumber mendedahkan Kim mungkin menukar nama keluarga anak-anak daripada West kepada Kardashian susulan ketiadaan komunikasi dengan Kanye.
“Kim berkata dia mungkin akan menukar nama keluarga anak-anak itu kepada Kardashian,” kata sumber dalaman dipetik Radar Online.

Menurut sumber sama, Kim membesarkan anak-anaknya seorang diri dan sudah beberapa bulan tidak mendengar khabar daripada penyanyi itu.
“Mungkin sudah beberapa bulan sejak kami tidak mendengar khabar daripada Kanye,” ujar sumber dipetik Radar Online.

Sumber menambah bahawa Kim melihat tiada sebab mengapa dia tidak berhak melakukan perubahan tersebut. Sebelum ini, Kim membuang nama West dari namanya sendiri selepas sah bercerai pada Mac 2022. Sepanjang perkahwinan, pasangan ini dikurniakan empat anak: North (12), Saint (10), Chicago (7), dan Psalm (6). -BOOM!










