Penyanyi dan personaliti TV popular Korea, Kim Jong Kook mendedahkan sebab utama mengapa dia menolak semua usaha rakan-rakan yang mahu menjodohkannya melalui ‘blind date‘.
Dalam rancangan ‘Problem Child in House’ yang disiarkan pada 29 Mei, pelakon Lee Min Jung dan Kim Jae Won hadir sebagai tetamu untuk mempromosikan rancangan baharu mereka Heart on Wheels.

Lee Min Jung mendedahkan bahawa dia pernah berusaha keras untuk memperkenalkan Kim Jong Kook, yang juga merupakan kawan rapat suaminya, Lee Byung Hun kepada seseorang, namun usahanya tidak berhasil apabila Kim Jong Kook menolak pelawaan tersebut secara terus.
“Saya cuba sangat aktif untuk kenalkan dia dengan seseorang, tapi dia tolak terus dan cakap ‘tak nak’,” ujarnya.
Kim Jong Kook kemudian menjelaskan bahawa beliau berasa tidak selesa dengan konsep ‘blind date’. Beliau menyatakan bahawa selepas menjalani temu janji tersebut, timbul pula rasa tanggungjawab untuk berkongsi pengalaman berkenaan dengan orang lain.
“Blind date buat saya rasa tak selesa.
Lepas janji temu tu, saya rasa kena cerita pula macam mana ia berjalan…” jelas Kim Jong Kook.

Lee Min Jung turut memaklumkan bahawa dia juga pernah cuba memperkenalkan Kim Jong Kook kepada seseorang secara tidak langsung dan semula jadi, namun tetap ditolak.
Lee Min Jung turut memaklumkan bahawa individu yang ingin diperkenalkannya kepada Kim Jong Kook kini sudah berkahwin dan menjalani kehidupan yang bahagia bersama suaminya.
Sebagai respons, Kim Jong Kook secara bersahaja menyatakan bahawa beliau mengenali suami kepada wanita tersebut dan menyifatkan lelaki itu sebagai seorang yang baik, sekali gus mencuit suasana di set program tersebut.
Sementara itu, Problem Child in House merupakan rancangan berbentuk kuiz pengetahuan yang menampilkan hos seperti Song Eun Yi, Kim Sook, Kim Jong Kook, Hong Jin Kyung, Yang Se Chan dan Joo Woo Jae, bersiaran setiap Khamis jam 8:30 malam di KBS 2TV. – BOOM!









