Pelakon Korea Selatan, Kim Gyu‑ri, meluahkan kelegaan selepas mahkamah memutuskan kes “cultural blacklist” yang melibatkan pentadbiran bekas Presiden Lee Myung-bak.

Beliau antara 34 selebriti yang berada dalam kempen senarai hitam kerana menyuarakan kritikan terhadap kerajaan terdahulu.

Keadaan itu menjejaskan kerjaya dan peluang mereka secara serius. Memetik laporan Times Entertainment, mahkamah mengesahkan kerajaan terdahulu bertanggungjawab terhadap pemulihan hak artis. Kini, Kim fokus memulihkan kerjaya dan memastikan tiada lagi diskriminasi terhadap artis berdasarkan pandangan politik atau budaya.

Kim berkongsi bahawa pengalaman berada dalam senarai hitam memberi kesan psikologi yang mendalam dan bertahun-tahun beliau hidup dalam tekanan.
Mahkamah pada awal memutuskan Lee Myung-bak dan bekas Ketua NIS bertanggungjawab membayar pampasan, namun menolak tuntutan terhadap kerajaan dengan alasan tempoh had masa telah tamat.

Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini membatalkan bahagian tersebut dan memerintahkan kerajaan membayar ₩5 juta (kira-kira AS$3,430) kepada setiap plaintif.
Pada 7 November lalu, Perkhidmatan Perisikan Negara (NIS) mengeluarkan kenyataan rasmi, mengiktiraf keputusan Mahkamah Tinggi Seoul pada 17 Oktober, dan mengeluarkan permohonan maaf bertulis kepada “mereka yang mengalami kecederaan material dan emosi” akibat kes tersebut. -Boom!










