Pelakon Kiefer Sutherland ditahan pada 12 Januari lalu selepas disyaki menyerang seorang pemandu perkhidmatan ride-share, menurut pihak polis Los Angeles.

Pelakon Kanada-Britain itu ditahan selepas pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan di kawasan Hollywood, Los Angeles sekitar tengah malam.
“Siasatan awal mendapati suspek, yang kemudian dikenal pasti sebagai Kiefer Sutherland, memasuki sebuah kenderaan ride-share, menyerang pemandu (mangsa) secara fizikal, serta mengeluarkan ugutan jenayah terhadap mangsa,” kata polis dalam satu kenyataan.
Pelakon berusia 59 tahun itu dibebaskan beberapa jam kemudian selepas membayar ikat jamin berjumlah AS$50,000 (RM202,550.00).

AFP melaporkan wakil Sutherland bagaimanapun tidak memberi sebarang maklum balas berhubung isu terbabit.
Polis memaklumkan bahawa pemandu berkenaan tidak mengalami kecederaan yang memerlukan rawatan perubatan.
Sutherland dikenali menerusi wataknya sebagai ejen anti keganasan, Jack Bauer, dalam siri televisyen 24 yang popular dari 2001 hingga 2010. Di layar perak, beliau turut meninggalkan kesan menerusi filem The Lost Boys (1987), Stand By Me (1986) dan The Three Musketeers (1993).

Kiefer merupakan anak kepada pelakon tersohor Donald Sutherland, yang meninggal dunia pada tahun 2024. – BOOM!









