Permohonan tuntutan nafkah tiga anak oleh pengacara dan pelakon, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, terhadap bekas suaminya, Adzmin Osman, ditangguhkan ke 3 Disember depan bagi memberi ruang laporan proses serahan ganti disediakan kepada mahkamah.

Peguam mewakili Raja Azura, Mohamad Amirul Hanizan memaklumkan bahawa sebutan pertama kes berkenaan terpaksa ditangguhkan selepas pihak responden tidak memberikan kerjasama untuk menerima notis tersebut.
“Ya, ada usaha mencari ahli keluarga responden dan kami sudah maklumkan kepada mahkamah bahawa serahan notis tidak berjaya,” katanya di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.

BH Online melaporkan, Mohd Amirul turut memaklumkan, jika serahan notis secara fizikal terhadap Adzmin masih gagal, pihaknya akan menggunakan kaedah serahan ganti seperti tampalan, iklan serta melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.
Tambahnya, jika responden terus enggan memberi kerjasama, mahkamah boleh membenarkan tindakan saman diteruskan terhadap responden.

Pada 10 September lalu, Raja Azura memfailkan permohonan pelaksanaan penghakiman terhadap bekas suaminya yang didakwa gagal membayar nafkah sejak 15 tahun lalu.

Mahkamah menetapkan 3 Disember ini sebagai tarikh baharu penyerahan laporan penyampaian ganti yang dilakukan plaintif. –Boom!










