Dua penyanyi terkenal antarabangsa, Nicki Minaj dan SZA, mencetuskan kekecohan di platform X selepas saling berbalas kenyataan pedas yang nyata mencuri perhatian ramai.
Semuanya bermula apabila SZA memuat naik satu hantaran menyentuh mengenai fenomena Mercury retrograde, sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya.
“Mercury retrograde.. jangan cepat terpedaya, silly goose,” tulis SZA.

Namun begitu, Nicki Minaj membalas kenyataan tersebut dengan kata-kata sindiran pedas.
“Penipu, penipu, seluar terbakar. Suara macam anjing mati,” balas Nicki Minaj.
Dalam ciapan sama, Nicki Minaj menggunakan tanda pagar #JusticeForDemoree dan #DepositionPerez, dipercayai merujuk kepada dakwaan yang tular sebelum ini membabitkan anak kepada CEO ROC Nation, Desirae Perez, yang didakwa bersikap kasar terhadap anaknya.
SZA kemudiannya membalas kembali kenyataan Nicki Minaj dengan menegaskan bahawa dia langsung tidak peduli terhadap perkara yang cuba dibangkitkan oleh Minaj.
“Aku tak kisah langsung pasal benda pelik kau buat tu,” balas SZA.

Spekulasi tercetus mengatakan pergaduhan ini berpunca selepas Minaj lantang mengkritik Desirae Perez, manakala SZA dilihat seolah-olah menyindir Minaj menerusi ciapan awalnya.
Walaupun punca sebenar masih kabur, peminat kedua-dua artis ini nyata keliru dengan pergaduhan yang berlaku secara tiba-tiba. – BOOM!









