Selepas meluahkan rasa kecewa di Instagram baru-baru ini, pelakon Riena Diana mendedahkan dirinya hampir mengambil keputusan untuk menyahaktifkan akaun media sosial miliknya.
Menurut Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, tekanan akibat kecaman dan kata-kata buruk daripada netizen benar-benar mengganggu kesihatan mentalnya.

Namun begitu, pelakon drama Kampung People ini berlapang dada apabila menerima banyak mesej permohonan maaf daripada pengikut yang mengaku silap selepas menyedari kesan perbuatan mereka.
“Bila saya post story macam itu, barulah semua makcik-makcik TikTok minta maaf dekat saya.
Memang saya ‘koyak’, tapi disebabkan mereka dah minta maaf, baguslah.
Ramai DM saya minta maaf.
Tak mengapalah, dah salah minta maaf, bagus… tapi jangan buat lagi,” katanya menerusi InstaStory.
Riena juga menegaskan bahawa dia tidak lagi akan berdiam diri jika ada pihak terus menyebarkan khabar angin atau menghina dirinya secara terbuka.
“Bila saya biadap, kata artis kurang ajar…
tapi netizen boleh pula kurang ajar,” ujarnya dalam nada kesal.

Sebelum ini, Riena meluahkan kemarahannya terhadap segelintir netizen yang menyebarkan berita tidak benar dan memberi komen melampau yang menjejaskan emosi dan kesihatannya. – BOOM!










