Calon Anugerah Grammy, Jubilant Sykes, ditemui mati ditikam di rumahnya di Santa Monica, AS pada 8 November lalu dan anaknya ditahan kerana disyaki membunuh, lapor pihak berkuasa.

Polis tiba selepas menerima panggilan kecemasan mengenai satu serangan dan menemui Sykes, 71, dengan kecederaan tikaman sebelum paramedik mengesahkan beliau meninggal dunia di tempat kejadian.
Micah Sykes, 31, yang berada di lokasi ketika kejadian ditahan tanpa tentangan dan polis turut menemui senjata dipercayai digunakan untuk pembunuhan.

Kes kini dirujuk kepada pejabat pendakwa daerah untuk tindakan seterusnya.
Sykes dikenali sebagai bariton versatil yang berjaya merentasi pelbagai genre termasuk opera, jazz, gospel dan muzik klasik.

Beliau pernah dicalonkan dalam kategori album klasik terbaik pada Grammy pada 2010 untuk Bernstein: Mass.
Dalam satu temu bual lama, Sykes berkongsi hubungannya dengan seni vokal.
“Nyanyian bagi saya seperti bernafas, ia sebahagian daripada diri saya. Saya tidak menganggapnya luar biasa. Ini adalah minat saya,” katanya.

Kematian beliau dianggap kehilangan besar buat dunia muzik, terutama bagi peminat yang mengagumi keunikan suaranya dan persembahannya di pentas berprestij seperti Metropolitan Opera dan Carnegie Hall. -Boom!









