Bella Hadid dilaporkan telah ditahan oleh pihak polis hanya beberapa ketika sebelum teman lelakinya – yang sering berpisah dan kembali bersama- Adan Banuelos, ditangkap atas kesalahan mabuk di tempat awam.

Seorang anggota sheriff menahan model terkenal itu di tempat letak kereta Gator’s Cantina di Weatherford, pada awal pagi Sabtu lalu.
Ketika polis menjalankan pemeriksaan terhadap Bella, Banuelos dikatakan menghampiri anggota bertugas dalam keadaan mencurigakan dengan pertuturan tidak jelas, matanya merah dan kelihatan mabuk, selain terdapat bau alkohol dari pernafasannya.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila Banuelos mengaku telah meminum empat botol bir sebelum itu.

Laporan polis menyebut Banuelos ditahan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkannya memandu atau membahayakan diri sendiri serta orang lain.
“Saya menyerahkan barangan peribadi Adan dan kendaraannya kepada teman wanitanya yang dikenal pasti sebagai Isabella Hadid, atas permintaannya,” menurut laporan tersebut.
Banuelos kemudiannya dibawa ke penjara daerah sebelum dibebaskan pada hari sama selepas membayar jaminan AS$386 (RM1530).

Insiden itu mencetuskan spekulasi tentang hubungan Bella dan Banuelos yang sebelum ini dilaporkan berakhir selepas dua tahun bercinta.
Difahamkan, perbezaan gaya hidup antara dunia glamor Bella dan latar belakang Banuelos turut menjadi punca ketegangan hubungan mereka. – BOOM!









