Kumpulan Exists berkongsi perkembangan menggembirakan mengenai vokalis mereka, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, yang kini semakin sihat selepas hampir setahun menjalani rawatan dan pemulihan di Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), Bentong, Pahang.
Menurut anggota Exists, Ajai, pihak warden memaklumkan bahawa Mamat kini menjadi ikon di pusat tersebut dan menunjukkan perubahan positif yang ketara.

“Apa yang kami dengar, banyak perkembangan positif dilihat dalam diri Mamat dalam masa singkat.
Walaupun dia ikut program, yang paling penting adalah keinginan hati dia sendiri untuk berubah,” kata Ajai pada sidang media Exists Premium Live @ PJ di IOI City Mall.
Exists turut mengumumkan konsert istimewa mereka, Exists Premium Live @ PJ yang bakal berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya pada 4 Oktober depan.
Konsert tersebut dijanjikan sebagai pengalaman premium dan lebih intim bersama peminat.

Anggota lain, Musa pula berkata 80 peratus perubahan Mamat datang daripada kekuatan jiwanya sendiri, manakala sokongan dari luar memainkan peranan kecil tetapi penting.
“Kami tak mahu orang nampak Mamat sebagai subjek yang gagal.
Alhamdulillah, sekarang kami boleh berkomunikasi dengannya secara normal dan dia pun semakin positif,” katanya.
Mamat sebelum ini terpalit isu penyalahgunaan dadah dan berdepan pertuduhan pada 2019. Bagaimanapun, beliau berjaya dalam rayuan terhadap sabitan dan hukuman pada 8 Julai tahun lalu.
Mengenai kemungkinan Mamat akan menyertai konsert Exists Premium Live @ PJ, Ajai menjelaskan mereka telah merancang untuk ‘menyimpan’ Mamat bagi projek reunion Exists tahun depan. – BOOM!










