Pelakon Kamal Adli hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menghadiri prosiding perceraian bersama isteri, Uqasha Senrose.

Ketika ditemui media, Kamal dengan tenang menyatakan bahawa kehadirannya adalah tanda tanggungjawabnya terhadap keluarga.
“Saya nak selamatkan rumah tangga. Saya datang sini sebagai memenuhi tanggungjawab saya sebagai seorang suami, ayah,” katanya dalam klip video dikongsikan Xtra.
Pelakon itu juga memohon agar semua pihak mendoakan yang baik-baik untuk mereka sekeluarga.

Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya itu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Beberapa hari selepas itu, aktres berkenaan memuat naik satu hantaran di Instagram yang memaparkan rasa kesal di atas tindakannya sebelum ini.

Dalam video tersebut, Uqasha memohon maaf atas segala perkongsian dan mengakui tidak sepatutnya menceritakan masalah rumah tangganya secara terbuka di media sosial.

Tindakan Kamal hadir ke mahkamah dengan niat untuk mempertahankan rumah tangga turut mendapat pujian ramai yang menganggap ia sebagai langkah matang dan bertanggungjawab. – Boom!









