Pelakon Kamal Adli meluahkan rasa syukur apabila bekas isterinya, Uqasha Senrose, memberi ruang untuk dia bertemu anak tunggal mereka, Hawra Uqaira, selepas lebih dua minggu terpisah.

Menurut beliau, peluang itu sangat bermakna dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Uqasha kerana memberi peluang kepada saya untuk meluangkan masa bersama Hawra.
Jadi hari ini (semalam) saya rasa sangat gembira, memang gembira,” katanya dipetik Oh Bulan.

Kamal turut berkongsi dia dapat meluangkan masa bersama Hawra yang berusia setahun lapan bulan itu selama beberapa jam sebelum tampil pada sebuah acara pertunjukan fesyen di ibu kota.
“Tadi dapatlah saya beberapa jam antara 2 petang hingga 5.30 petang tadi. Kami bermain di kawasan rumah sahaja sebab Hawra macam tidak sihat,” ujarnya.

Bagi Kamal, dapat bertemu dan memegang anaknya sudah cukup membahagiakan.
“Dapat pegang, dapat jumpa, dapat luang masa, saya dah gembira dah,” katanya penuh emosi.

Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu. – BOOM!









