Selepas lebih dua dekad mengharungi suka duka dalam rumah tangga, pelakon senior Edika Yusof mengakui reda apabila isterinya, Nor Hidayah, mengambil keputusan memfailkan perceraian pada Februari lalu selepas 22 tahun berkahwin.
“Saya dah kahwin lebih 22 tahun. Saya jaga dia hampir 19 tahun ketika sakit. Jadi, apabila pada waktu ini baru nak offer untuk lepaskan saya, saya rasa dah terlambat.”
Menurut pelakon filem Maria Mariana itu, alasan kononnya untuk ‘membebaskan’ dirinya agak sukar diterima kerana selama ini dia tidak pernah meminta dilepaskan.
“Dia cakap nak bebaskan saya, supaya saya boleh hidup baharu. Baiklah, terima kasih. Anggap sahaja ini hadiah hari lahir saya esok. Tapi kalau itu niat dia, patut dari dulu beritahu.”
Edika turut berkongsi bahawa selama ini dia terbiasa memikul tanggungjawab rumah tangga dan sudah beberapa kali cuba untuk berbincang, namun tidak diendahkan.
“Saya tak pernah sorok apa-apa. Telefon saya, akaun bank saya, semuanya dia boleh tengok. Tapi nampaknya dia memang serius nak berpisah.”
Lebih memilukan, anak-anak mereka juga dikatakan tidak berusaha untuk mendamaikan hubungan kedua-dua ibu bapa mereka.
“Saya tunggu juga kalau mereka nak buat sesuatu untuk satukan semula, tapi tak nampak pun. Mungkin generasi sekarang begitulah. Saya pun sekarang seorang diri.”
Edika turut mendedahkan dia pernah mengalami kemurungan dan mendapatkan rawatan akibat tekanan emosi yang dipendam terlalu lama.
“Saya jaga isteri saya bertahun-tahun. Tapi orang hanya nampak dia yang sakit. Saya pernah kena anxiety, jumpa kaunselor. Saya tak ada tempat nak luah… Mak ayah saya pun dah tiada.”
“Kadang-kadang saya terlalu push dia untuk jadi berdikari sebab saya risau kalau saya tiada nanti, siapa nak jaga dia? Tapi mungkin dia tak boleh terima cara saya.”
Meskipun pahit, jauh di sudut hati, Edika masih berharap hubungan mereka dapat diperbaiki secara damai.
Difahamkan, sebutan semula kes perceraian mereka akan berlangsung pada 23 April ini selepas Edika gagal hadir dalam prosiding pertama sebelum ini. -BOOM!
Sumber: Kosmo!