Bekas anggota kumpulan The Boyz, Ju Hak Nyeon, tampil mempertahankan dirinya selepas dikaitkan dengan dakwaan terlibat dalam aktiviti pelacuran semasa berada di Tokyo bersama bekas pelakon filem dewasa, Asuka Kirara.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosialnya pada 20 Jun, Ju Hak Nyeon menafikan tuduhan berat itu dan mendakwa agensinya, One Hundred, sengaja mencipta alasan untuk menamatkan kontraknya.
“Jika benar saya terlibat dengan pelacuran, sila kemukakan bukti sekarang,” tegasnya.
Menurutnya, beliau tidak pernah bersetuju untuk keluar dari kumpulan mahupun menamatkan kontrak secara sukarela.
“Syarikat cuba mengaburi mata umum kononnya kontrak saya ditamatkan atas kesalahan besar, sedangkan itu tidak benar.”
Ju turut mendedahkan bahawa syarikat meminta bayaran pampasan berjumlah 2 bilion KRW (lebih RM6 juta), walaupun beliau tidak bersetuju dengan penamatan kontrak tersebut.
“Saya sangat takut, tapi jika saya mengalah sekarang, dunia ini akan jadi tempat di mana yang lemah terus dipijak walaupun tidak bersalah.”
Beliau juga berhasrat membawa isu ini ke muka pengadilan, termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap media yang menurutnya menyebarkan berita tidak berasas.
“Saya akan lawan hingga ke akhirnya demi membersihkan nama saya.”
Insiden ini tercetus selepas video memperlihatkan Ju Hak Nyeon berada dalam satu majlis bersama Asuka Kirara tersebar.
Susulan itu, satu laporan telah difailkan di Balai Polis Gangnam, Seoul untuk menyiasat kemungkinan beliau terlibat dalam aktiviti tidak bermoral di luar negara. – BOOM!










