Selepas mencuri tumpuan menerusi watak Daud M dalam karya terakhir Allahyarham Mamat Khalid, Joey Daud kini bangkit semula dengan single baharu berjudul Wamwamsam, yang telah dilancarkan secara rasmi pada 20 Mei 2025.
Lagu bergenre komedi pop rock eksperimental ini bukan sekadar hiburan kosong, Wamwamsam mengetengahkan isu sosial dan pentingnya pendidikan dengan lirik satira dan irama rancak yang menggoda telinga.

“Wawasan bukan sekadar kata — ia panduan hidup. Wamwamsam mungkin kedengaran lucu, tapi maknanya mendalam,” kata Joey yang menghasilkan lagu ini berasaskan pengalaman hidup dan pemerhatiannya terhadap masyarakat.
Single ini turut memperlihatkan kolaborasi bersama komposer muda Ilham Nasir dan Hidayat Nasir dari Luncai Emas serta menampilkan segmen rap eksklusif oleh A.D dari kumpulan hip hop Sabah, Isohbatos.
“Bukan lagu untuk satu kawasan saja — ini lagu seluruh Malaysia,” tegas Joey.

Menariknya, video muzik Wamwamsam diarahkan oleh Amen Khalid, anak kepada Mamat Khalid, yang bakal menjadi teaser kepada filem Daud M yang sedang dibangunkan.
Melalui Wamwamsam, Joey membuktikan dirinya bukan sekadar pelawak tetapi seniman berwawasan yang berani bermain dengan genre dan menyampaikan mesej tajam secara kreatif. – BOOM!









