Pelakon terkenal Korea Selatan, Jo Jung-suk, kini mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada aktiviti YouTube selepas menyambut kelahiran anak perempuan keduanya pada 14 Januari lalu.

Perkara itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat yang dimuat naik di saluran YouTube Cheonggyesan Daengi Records pada 18 Jun. Surat tersebut ditulis oleh Jo Jung-suk menerusi persona alter egonya, Daengi Dad Jo Jeom-seok.
Dalam surat berkenaan, beliau terlebih dahulu merakamkan penghargaan kepada peminat atas sokongan berterusan yang diberikan terhadap kandungan media sosialnya itu.
“Terima kasih kerana sentiasa menonton dan menyokong video saya. Hasil daripada sokongan anda semua, saluran ini kini berjaya mencapai 500,000 pelanggan,” katanya.

Pada masa sama, Jo Jung-suk turut berkongsi satu lagi khabar gembira bersempena pencapaian tersebut.
“Satu lagi kebahagiaan besar telah hadir dalam keluarga kami apabila seorang adik kepada Daengi selamat dilahirkan,” katanya.
Susulan itu, beliau memaklumkan akan menghentikan sementara aktiviti memuat naik video bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.
“Buat masa ini, agak sukar untuk menghasilkan kandungan baharu kerana saya perlu fokus menjaga anak. Oleh itu, saya ingin memaklumkan perkara ini lebih awal,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan akan kembali aktif sebaik keadaan mengizinkan.
“Saya akan berehat sebentar dan kembali secepat mungkin. Apabila kembali nanti, saya berharap dapat berkongsi lebih banyak video menarik dengan cerita yang berbeza,” katanya lagi.
Untuk rekod, Jo Jung-suk dan isterinya, penyanyi Gummy atau nama sebenarnya Park Ji-yeon, telah mendirikan rumah tangga pada 2018 dan kini dikurniakan dua orang cahaya mata. -BOOM!









