Penyanyi antarabangsa, Jessie J mendedahkan bahawa dirinya baru sahaja menjalani pembedahan berikutan diagnosis awal kanser payudara.
Menerusi satu hantaran di media sosial, bintang kelahiran Essex itu berkongsi foto dan video momen-momen penuh emosi sepanjang berada di hospital.
“Ini adalah suka dan duka yang jujur sepanjang 48 jam terakhir,” tulisnya sambil berterima kasih kepada doktor, pakar bedah dan jururawat yang menjaganya dengan penuh dedikasi.
Penyanyi berusia 37 tahun itu sebelum ini mendedahkan diagnosis awalnya pada awal Jun, dan menerima sokongan meluas daripada rakan-rakan industri muzik serta para peminat kerana keberaniannya berkongsi kisah peribadi itu.
Jessie J menjalani pembedahan beberapa hari selepas membuat persembahan di Capital’s Summertime Ball yang berlangsung pada 15 Jun di Stadium Wembley, London.
Dalam hantaran yang dimuat naik, Jessie J turut berkongsi kunjungan penuh kasih sayang daripada pasangannya, Chanan Safir Colman, dan anak mereka semasa di hospital.
Dia turut meluahkan rasa syukur kepada semua yang membantu sepanjang rawatan dan memberikan semangat kepada mereka yang juga sedang berjuang dengan cabaran hidup.
“Masih memeluk semua orang yang sedang melalui detik sukar. Kita semua kuat!” katanya.
Jessie J sebelum ini menjelaskan bahawa dia memilih untuk berkongsi perjalanan ini secara terbuka agar dapat memproses pengalaman tersebut dan menyatakan solidariti dengan individu lain yang turut berdepan kanser. – BOOM!









