Penyanyi antarabangsa, Jessie J mengejutkan peminat apabila mendedahkan dirinya kini menghidap kanser payudara tahap awal dan akan berehat seketika dari dunia seni untuk memberi fokus kepada rawatan dan pembedahan.
Menerusi hantaran di Instagram, Jessie J, 37, menyatakan keputusan itu dibuat selepas menerima diagnosis baru-baru ini.
“Kanser memang menakutkan dalam apa jua bentuk, tetapi saya pegang pada satu perkataan – ‘awal’,” tulisnya.
Menurut penyanyi lagu Price Tag itu, dia akan tetap membuat persembahan terakhir di konsert Summertime Ball di Stadium Wembley, London pada 15 Jun ini, sebelum menjalani pembedahan.
Jessie turut menyatakan bahawa dia berkongsi kisah ini kepada umum bagi memberi semangat kepada pesakit kanser lain yang sedang berjuang.
“Saya tahu kuasa perkongsian kisah sebenar. Ia bantu saya jadi kuat dan mungkin bantu orang lain juga.
Dulu, kisah jujur orang lain beri saya kekuatan, sekarang giliran saya,” ujarnya.

Dalam kenyataannya, Jessie turut memberi jaminan bahawa rehat ini bukanlah pengakhiran buat karier muziknya.
“Saya akan kembali. Tapi kali ini dengan jiwa yang lebih kuat.
Bila saya berdiri semula di atas pentas nanti, suara saya bukan sekadar nyanyian, tapi luahan hati seorang pejuang,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, Jessie J telah menghasilkan lima album studio dan album terakhirnya, This Christmas Day, diterbitkan pada tahun 2018. – BOOM!









