Pelakon terkenal Hollywood, Jennifer Lawrence, mendedahkan dia berasa takut untuk memelihara anjing selepas satu insiden mengejutkan apabila haiwan itu menggigit anaknya, Cy, 3.

Kejadian itu memberi kesan mendalam sehingga Jennifer membuat keputusan untuk menyerahkan anjing yang dimiliki kepada ibu bapanya.
“Rasanya seperti saya tidak mengenali haiwan itu dan seolah-olah saya melihatnya sebagai satu ancaman,” katanya dipetik People.

Malah, emosinya ketika itu sangat terganggu sehingga dia mengakui ingin memusnahkan makhluk berkenaan.
“Salah seekor daripada haiwan itu menggigit anak saya dan ia membuatkan saya mahu memusnahkan setiap anjing,” katanya.
Selepas kejadian itu, Jennifer, 35, mula membela kucing dan kini menjadi peminat haiwan itu.

Pelakon yang namanya melonjak naik melalui filem The Hunger Games itu berkata, dia memiliki seekor kucing dinamakan Fred, yang dianggap lebih menenangkan dan sesuai dengan kehidupannya sekarang. –Boom!










