Jay Park menjadi topik hangat di media sosial apabila penyanyi dari Korea Selatan itu dikecam kerana mempersembahkan lagu popularnya Mommae pada acara Love Your W, yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara.

Persembahan tersebut mendapat kritikan hebat kerana lirik lagu berkenaan menyentuh perihal tubuh badan wanita, sekali gus dianggap tidak sesuai dengan matlamat acara amal tersebut.
Susulan kontroversi itu, Jay Park tampil memohon maaf menerusi Instagram Story, menyatakan kekesalannya jika ada pihak yang tersinggung. Namun, beliau juga menegaskan bahawa niatnya hanyalah untuk menyokong acara tersebut secara percuma dan dengan niat yang baik.

“Selepas acara rasmi kempen kesedaran kanser payudara, saya faham bahawa acara dan persembahan itu untuk mereka berkumpul dengan niat dan tujuan mulia, meluangkan masa daripada jadual sibuk mereka, jadi saya hanya membuat persembahan seperti biasa.
Jika ada pesakit kanser berasa tersinggung atau tidak selesa selepas melihat persembahan saya mohon maaf. Saya mendoakan kesihatan yang baik untuk anda. Hwaiting! Saya membuat persembahan dengan niat baik tanpa bayaran, walaupun cedera. Tolong jangan eksploitasi niat baik itu,” katanya.

Namun, kenyataan maaf tersebut tetap mengundang pelbagai reaksi, dengan ramai netizen menyatakan bahawa lagu Mommae tidak wajar dipersembahkan dalam acara yang bertujuan memberi sokongan moral kepada pesakit kanser.
— Boom!









