Pengacara dan penulis terkenal, Fedtri Yahya, menasihatkan mangsa gangguan ilmu hitam yang sudah pulih tidak berkongsi perkembangan diri di media sosial.

Fedtri berkata, perkongsian berkaitan perkembangan kesihatan diri boleh mengundang seseorang mangsa terkena serangan kembali.
“Kalau terkena sihir, jangan sesekali kongsi perkembangan diri sama ada sudah baik, sembuh atau belum dalam media sosial. Pelaku sihir sentiasa memantau. Jika dapat tahu kita sudah pulih, mereka mungkin akan menyerang semula dengan kekuatan berganda untuk melemahkan sasarannya. Sebab itu, lebih baik tidak kongsi dan sembuh dalam diam,”
katanya menerusi temu bual dalam program podcast Sembang Seram dihoskan Safwan Nazri baru-baru ini.

Dalam siar raya audio tersebut, Fedtri banyak membongkar tradisi khurafat masyarakat dahulu yang masih diamalkan segelintir pihak.
Beliau turut mendedahkan kisah loket janin, yang didakwa digunakan oleh sesetengah individu terkenal untuk meraih populariti dan kekuasaan.

Fedtri turut menjelaskan bahawa ilmu hitam ialah amalan syirik yang menggunakan bantuan makhluk halus bagi menjejaskan fizikal dan mental mangsa seperti sihir, santau dan susuk. –Boom!









