Baru-baru ini, tular sebuah inisiatif rakyat Malaysia yang bersepakat membantu rakyat negara jiran, khususnya pemandu Grab atau ojek di Indonesia, ketika mereka berdepan situasi tidak menentu.
Caranya mudah iaitu dengan membuat pesanan makanan dari peniaga di sana, sekali gus memberi sedekah kepada mereka.
Pelakon popular, Puteri Sarah Liyana turut menyambut baik usaha ini dan mengambil peluang untuk menghulurkan bantuan.
Menerusi perkongsian tangkap layar mesej, Sarah membuat pesanan makanan dari restoran Soto Betawi Bang Jack di Jakarta yang diterima oleh seorang pemandu ojek bernama Maruba Joner.
Maruba kemudian menghantar mesej bertanyakan lokasi sebenar penghantaran kerana Sarah memilih lobi sebuah bangunan.
“Saya dari Malaysia. Itu buat sedekahnya bapak sama teman.
Nanti dimakan ya,” balas Sarah.
Tersentuh dengan kata-kata itu, Maruba mengucapkan terima kasih dan mendoakan agar rezeki Puteri Sarah dilipatgandakan.
“Semoga berkah, sukses selalu kak,” tulisnya ringkas.
Membalas semula pesanan itu, ibu kepada dua cahaya mata itu turut menitipkan doa buat rakyat Indonesia.
“Iya, lekas sembuh ya Indonesia.”



Tindakan kecil tapi penuh makna itu nyata menyentuh hati ramai, membuktikan bahawa nilai kemanusiaan dan keprihatinan merentasi sempadan negara. – BOOM!









