Ani Mayuni, berkata, seseorang penyanyi tidak sentiasa mempunyai kebebasan untuk memilih lagu sendiri, malah menyifatkan situasi itu sebagai perkara biasa dalam industri muzik berdasarkan pengalamannya sebelum ini.

Menurut penghibur berpengalaman itu, pada kebiasaannya lagu ditetapkan oleh syarikat rakaman dan sebagai penyanyi, beliau perlu menyanyi tanpa banyak pilihan.
“Kita sebagai penyanyi hanya menyampaikan karya orang lain. Itu adalah tanggungjawab kami untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi,” katanya.

Beliau mengulas demikian rentetan polemik yang tercetus susulan dakwaan lirik berunsur lucah dalam sebuah lagu nyanyian seorang penyanyi tempatan.

Ani Mayuni menegaskan penilaian terhadap sesebuah karya pula tidak wajar dibuat secara tergesa-gesa tanpa memahami konteks sebenar.
Menurut beliau, penjelasan mengenai makna lirik sewajarnya diperoleh daripada pencipta lagu serta penulis lirik, dan bukannya diletakkan sepenuhnya di bahu penyanyi yang sekadar menyampaikan karya tersebut.
“Mereka yang lebih tahu apa maksud sebenar lirik yang ditulis. Apabila dihayati, kebanyakan lirik lagu dangdut sebenarnya berkisar tentang cinta,” katanya dipetik BH Online.

Ani berkata, dangdut Malaysia dan Indonesia tidak boleh dibandingkan secara sama rata kerana mempunyai identiti berbeza.
“Kalau dilihat dari segi penampilan pun sudah berbeza. Di Malaysia, kita masih tahu batasan kerana kita faham penerimaan masyarakat dan kita mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya. – Boom!









