Penampilan pelakon sensasi, Ira Kazar yang dilihat semakin berisi kebelakangan ini menimbulkan tanda tanya netizen — adakah ia petanda dirinya sedang bahagia?
Memetik laporan Kosmo! Online, bekas isteri kepada pengarah terkenal, Syamsul Yusof itu memilih untuk tidak terlalu terbuka mengenai kehidupan peribadinya.
“Alhamdulillah kehidupan semakin baik dari sebelum ini. Bahagia? Ya Allah takutnya nak cakap. Bahagialah di sisi keluarga dan kawan-kawan. Saya boleh cakap saya lebih baik sekarang,” katanya.
Bagi Ira atau nama penuhnya, Faghirah Fatini Kazaruddin, 30, lebih baik memilih untuk berahsia demi menjaga perasaan orang lain.
Mengenai perubahan fizikalnya, Ira tidak berkecil hati malah menyambut baik apabila ada yang menyedari dirinya kini lebih berisi.
“Ramai yang tegur (berisi) mungkin sebab kurang fikir sekarang. Saya tidak tersinggung pun orang cakap saya berisi sebab saya tidak mahu orang cakap saya kurus,” ujarnya.
Tambahnya lagi, walaupun ada netizen yang marah apabila dia ditegur soal fizikal, Ira tidak menganggap itu sebagai ‘body shaming’.
Apabila ditanya mengenai sebarang khabar gembira, Ira hanya tersenyum dan menyatakan dia kini aktif berniaga secara dalam talian.
Ira kini dalam fasa mencuba perkara baru selepas menerima banyak dorongan daripada rakan-rakan dalam bidang perniagaan.
Sebelum ini, Ira pernah mencetuskan kontroversi apabila menjadi tumpuan media susulan perkahwinannya bersama Syamsul Yusof di Thailand pada 6 Januari 2023 yang berakhir dengan perceraian pada 5 September tahun lalu. – BOOM!