Populariti penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Lesti Kejora, terbukti masih kukuh dan terus berkembang. Bukan sahaja golongan wanita atau ibu-ibu, malah peminat lelaki muda turut membanjiri kelompok penyokong setianya, LestiLovers Indonesia.
Fenomena ini mencuri perhatian selepas satu foto tular di platform X memaparkan sekumpulan peminat Lesti menghadiri sebuah perjumpaan dengan memakai baju-T biru langit tertera tulisan “LESTILOVERS INDONESIA”.

Apa yang mencuri tumpuan ramai adalah kehadiran peminat lelaki yang ramai dalam kalangan mereka.
“Saya terkejut, ingatkan peminat Lesti cuma golongan mak-mak.
Baru tahu ramai juga fanboy muda dia,” tulis seorang pengguna X yang berkongsi foto tersebut.
Netizen lain turut membandingkan pengaruh Lesti dengan artis terkenal lain seperti Agnez Mo. Ada juga yang berkata ramai sebenarnya mengagumi Lesti secara diam-diam.
Rata-rata netizen memuji kualiti vokal dan persembahan pentas Lesti sebagai sebab utama dia masih relevan dan disukai ramai.
Sebagai info, Lesti mula dikenali menerusi program realiti D’Academy, di mana dia muncul sebagai juara dan terus melonjak naik dalam dunia hiburan.
Selepas mendirikan rumah tangga dengan pelakon Rizky Billar, perhatian terhadap kehidupan peribadinya turut meningkat.

Kini, Lesti sering muncul di rancangan televisyen, menerima banyak tawaran persembahan dan turut berlakon dalam beberapa sinetron popular.
Puncak kerjayanya dapat dilihat melalui kejayaan mengadakan konsert solo yang dihadiri ribuan peminat.
Hubungan erat yang dibina bersama peminat menjadikan Lesti bukan sekadar artis, tetapi juga ikon yang disayangi ramai. – BOOM!










