Tindakan dua beradik membuat laporan palsu kononnya hilang di Sungai Tui, Bukit Kepong, membawa padah apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara selama sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Muar, hari ini.
Menurut laporan Harian Metro, tertuduh iaitu Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dikenali sebagai ikon permotoran, bersama adiknya Tengku Abdul Aziz, 30, membuat laporan palsu pada 15 Julai lalu yang mencetuskan operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) berskala besar.

Kedua-duanya mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Mahkamah turut menetapkan bahawa sekiranya gagal membayar denda, Tengku Nizaruddin akan dipenjara tiga bulan manakala adiknya enam bulan, bermula dari tarikh sabitan hari ini.
Kes berkenaan mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut yang membazirkan sumber pihak berkuasa. – BOOM!









