Desas-desus mengenai perpisahan antara pasangan selebriti Korea terkenal, IU dan Lee Jong Suk, akhirnya terjawab dan ternyata tidak benar.
Menurut laporan OSEN pada 20 Mei, pasangan popular itu masih menjalinkan hubungan yang stabil dan penuh kasih sayang, kini memasuki tahun ketiga bersama.
“Semuanya masih baik antara IU dan Lee Jong Suk,” kata seorang sumber terdekat, sekali gus menafikan khabar angin perpisahan yang kembali tular sejak kebelakangan ini.
Pasangan ini mengumumkan hubungan mereka secara terbuka pada Disember 2022 dan sejak itu mengekalkan profil rendah dalam percintaan mereka.
Lee Jong Suk dilihat hadir ke konsert IU, manakala mereka juga pernah secara tidak langsung menyebut antara satu sama lain di hadapan umum.

Khabar angin mula bertiup kencang selepas IU dikatakan keluar makan malam bersama V BTS pada hari lahirnya, 16 Mei.
Namun, kemudian disahkan bahawa ia hanyalah perjumpaan santai bersama rakan-rakan di restoran milik chef Ahn Sung Jae.
IU dan V sebelum ini pernah bekerjasama dalam penggambaran muzik video.

Spekulasi turut dikuatkan dengan jadual penggambaran Lee Jong Suk yang akan berlangsung di luar negara untuk projek drama baharu The Remarried Empress.
Namun begitu, sumber mengesahkan pasangan itu tetap saling bertemu meskipun sibuk dengan karier masing-masing.
Dalam perkembangan lain, IU bakal kembali dengan album The 3rd Remake Album pada 27 Mei, manakala Lee Jong Suk sibuk dengan projek drama Seochodong dan siri besar The Remarried Empress.









