Selepas lama menyepi, penyanyi, komposer dan penerbit berbakat, Hez Hazmi kembali mencuri perhatian dengan single terbarunya berjudul “Musim”, yang dilancarkan secara rasmi pada 5 April 2025.
Lagu ini bukan sekadar buah tangan terbaharu, tetapi simbol kebangkitan seni Hez Hazmi dalam fasa yang lebih matang, segar dan berani.
Bukan itu sahaja, “Musim” juga menjadi pelancaran sulung ZVARA Records, sebuah label muzik baharu yang mahu merombak landskap industri muzik Malaysia dan Indonesia dengan pendekatan produksi dan pemasaran lebih moden dan dinamik.
“Musim adalah refleksi perjalanan, kehilangan dan keindahan perasaan yang berkembang seiring waktu,” kata Hez Hazmi.
Dilahirkan pada 10 Februari 1992 di Cheras, Kuala Lumpur, Hez memulakan langkah seninya bersama Akira Shukri dalam duo #tag di bawah KRU Music, sebelum memahat nama sebagai penyanyi solo menerusi lagu hit seperti “Setiaku”, “Aku Mula Rindu” dan “Kau Bukan Untukku”.
Namun, seperti musim yang berubah, Hez memilih untuk menyepi buat seketika demi mencari inspirasi baharu.
Kini, kemunculan semulanya tampil lebih yakin dan berkarakter, dengan elemen disco dan vibe retro 70-an dalam “Musim” — satu gabungan unik antara nostalgia dan arus moden.
Penampilan terkininya juga lebih retro, autentik dan mencerminkan keyakinan baharu dalam identiti seninya. – BOOM!