Pelakon jelita, Nora Danish, meluahkan rasa syukur dan sebak apabila anak sulungnya, Putra Rayqal Hakim, 17, menamatkan pengajian di Kolej Tuanku Ja’afar, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, Nora yang berusia 43 tahun menyifatkan pencapaian Rayqal sebagai satu nikmat besar daripada Allah.

“Alhamdulillah, kami menyaksikan satu lagi nikmat daripada Allah.
Anak sulung saya menamatkan alam persekolahannya,” tulisnya.
Nora turut menitipkan doa agar segala ilmu yang diperoleh anaknya dapat membimbing ke jalan yang baik.
“Semoga ilmu itu menjadi cahaya membimbingmu di dunia dan akhirat.
Langkahlah dengan tawakal, adab dan iman.
Mommy sentiasa mendoakan kejayaanmu di bawah rahmat Allah,” tambahnya.
Detik penuh emosi itu turut dihadiri bekas suami Nora, Datuk Rizal Ashram Ramli (Jejai) serta keluarga mentua yang hadir memberi sokongan.
Menariknya, meskipun bercerai pada 2008, hubungan Nora dan Jejai kekal baik demi kebahagiaan anak mereka.
“Macam baru semalam mommy hantar Qal menangis masuk asrama,” kenangnya lagi.
Nora dan Jejai berkahwin pada 20 Jun 2006, namun berpisah dua tahun kemudian. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rayqal.
Nora kemudiannya berkahwin dengan Nedim Nazri, anak kepada ahli politik Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang lagi anak lelaki, Mohamed Neqayl.
Namun, mereka disahkan bercerai pada tahun lalu. – BOOM!









