George Clooney dinobatkan sebagai pelakon dengan bayaran tertinggi dalam sejarah Broadway, mengatasi rakan lakonannya dalam Ticket to Paradise, Julia Roberts.
Bintang berusia 63 tahun itu dilaporkan meraih bayaran sebanyak $300,000 (RM1.4 juta) seminggu untuk debutnya di Broadway menerusi Good Night, and Good Luck.
Menurut sumber dari Radar Online, Clooney bukan sekadar pelakon dalam produksi ini, malah turut menulis skripnya.
“George Clooney mendapat tawaran yang luar biasa besar. Bukan sahaja dia berlakon, tetapi juga menulis skrip, menjadikan dia memperoleh pendapatan dari pelbagai sumber,” kata sumber tersebut.

Lebih mengejutkan, Clooney juga mendapat peratusan keuntungan produksi, yang bermakna pendapatannya boleh melonjak lebih tinggi daripada jumlah asasnya.
“Perjanjian ini bukan sekadar bayaran lakonan. Dia juga mendapat bahagian keuntungan, menjadikannya pelakon dengan bayaran tertinggi dalam sejarah Broadway,” kata seorang lagi sumber.
Pementasan Good Night, and Good Luck dijadualkan dibuka secara rasmi pada 3 April 2025, dan harga tiket sudah tersenarai setinggi $677 (RM3,200) bagi satu tempat duduk!
Tidak syak lagi, George Clooney kini bukan sekadar ikon Hollywood, tetapi juga raja Broadway. – BOOM!