Selebriti K-pop terkenal, G‑Dragon, mencetuskan kontroversi apabila vokalnya dikecam hebat ketika menyanyi di Anugerah MAMA 2025, meskipun beliau memenangi anugerah utama termasuk Artis Sepanjang Tahun.

Netizen mengkritik kualiti vokalnya, mendakwa beliau gagal menyanyi sepenuhnya secara langsung dan sebahagian vokalnya bergantung kepada sokongan vokal rakaman (AR) untuk mengekalkan kelancaran persembahan.

Agensinya, Galaxy Corporation, menjelaskan bahawa perubahan dalam persembahan itu sebenarnya dibuat bagi menghormati mangsa tragedi kebakaran besar yang berlaku di Hong Kong pada 26 November 2025, yang mengorbankan 159 orang.
Menurut agensi itu, tindakan terbabit dibuat sebagai solidariti kepada mangsa dan suasana berkabung, bukannya untuk mengejar elemen glamor di pentas.

Namun, reaksi orang ramai tetap terbahagi. Sebahagian pengkritik menyatakan isu teknikal atau persiapan persembahan tidak boleh dimaafkan, manakala penyokong memahami niat di sebalik pentas yang sederhana dan menghargai usaha menghormati situasi sebenar.

Selain itu, G‑Dragon dilaporkan menyumbang dana bantuan kepada mangsa kebakaran, sebagai tanda solidariti. –Boom!









