G-Dragon dari kumpulan K-pop BIGBANG membuktikan dominasi prestasi solonya apabila memenangi tujuh anugerah pada Melon Music Awards (MMA) 2025, termasuk tiga Daesang (anugerah tertinggi) utama.

Kejayaan itu mengukuhkan namanya sebagai antara artis paling berpengaruh dalam industri muzik Korea.
K Entertainment News melaporkan pada malam berprestij itu, G-Dragon merangkul juara bagi Lagu Terbaik Tahun Ini, Artis Terbaik Tahun Ini dan Album Terbaik Tahun Ini. Selain itu, beliau turut memenangi Top 10 Artist Melon, Millions Top 10, Artis Solo Lelaki Terbaik, serta Penulis Lagu Terbaik.

Pencapaian tersebut membuktikan penerimaan luar biasa terhadap karya solo beliau yang konsisten dan berani.
Ketika menerima trofi KakaoBank Album of The Year G-Dragon menyifatkan kemenangan MMA 2025 sebagai kenangan istimewa yang akan sentiasa diingatinya sepanjang karier muziknya.
“Setiap tahun adalah istimewa, tetapi ini adalah kenangan yang akan diingati untuk saya,” katanya.

Dalam ucapan penutupnya, beliau berterima kasih kepada VIP, rakan-rakan BIGBANG, keluarga, kawan-kawan, dan semua yang memberi inspirasi kepadanya.
“Saya ingin berterima kasih kepada semua orang yang memberi inspirasi kepada saya, VIP, rakan-rakan BIGBANG yang saya rindui, keluarga dan kawan-kawan,” katanya.

MMA 2025 disiarkan secara langsung menerusi aplikasi dan laman web Melon, Wavve di Korea, YouTube serta pelbagai platform lain, membolehkan peminat global menyaksikan detik bersejarah tersebut. -Boom!










