Semalam, melalui satu perkongsian di media sosial, penerbit dan penyanyi terkenal, Dato’ Norman dari kumpulan KRU, mendedahkan hasrat lamanya untuk menerbitkan 3 Hajat. Menurutnya, naskhah ini cukup dekat di hati kerana ia bukan sekadar sebuah filem, tetapi lahir daripada pengalaman peribadinya sendiri sebagai seorang anak dan seorang bapa.

Berbeza daripada deretan karya KRU Studios sebelum ini yang sinonim dengan fantasi dan teknologi, 3 Hajat tampil dengan pendekatan lebih realistik. Filem ini menyingkap kehidupan nelayan di Terengganu sambil menekankan seni warisan, budaya tempatan, serta kisah pengorbanan seorang ayah terhadap anak tunggalnya. Penceritaan penuh emosi ini menyentuh nilai kekeluargaan yang universal, menjadikan ia sebuah karya yang mampu merentas generasi.

Kini, 3 Hajat sedang ditayangkan di 74 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei. Sebuah karya daripada hati, yang diangkat menjadi filem. – BOOM!










