Fenomena luar biasa! Itulah gambaran paling tepat buat konsert GenKRU yang telah menggegarkan Axiata Arena selama dua malam berturut-turut baru-baru ini.
Disebabkan sambutan luar jangka dan permintaan tinggi daripada peminat yang masih belum puas menyaksikan aksi trio adik-beradik legenda ini, KRU telah mengumumkan penambahan hari keempat konsert GenKRU!
Ini menjadikan ia konsert tempatan paling lama pernah diadakan dalam satu siri di Axiata Arena!
Ternyata, aura dan pengaruh KRU yang dibina sejak tiga dekad lalu masih utuh dan relevan dalam landskap muzik tanah air.
Dengan rangkaian lagu-lagu hit seperti Fanatik, Awas, Ooh La La, Apa Saja, dan banyak lagi, pentas GenKRU menjadi bukti nyata bahawa KRU bukan sekadar nama besar, tetapi sebuah fenomena muzik yang luar biasa.

Lebih istimewa, KRU turut melancarkan album terbaharu mereka bertajuk “Kaset” baru-baru ini. Ia hadir dengan 10 lagu baharu segar namun tetap membangkitkan nostalgia gaya KRU yang tersendiri.
Album “Kaset” juga tersedia dalam pelbagai format digital — cakera padat (CD), kaset dan juga piring hitam (vinyl). Pembelian dan tempahan boleh dilakukan melalui laman web rasmi mereka di www.kru2u.com.
Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan penuh tenaga KRU, tiket untuk hari keempat akan mula dijual pada jam 1 petang, 8 Mei 2025 menerusi laman web www.ticket2u.com.my.
Tidak keterlaluan untuk dikatakan, kejayaan konsert GenKRU ini menjadi simbol keteguhan legasi muzik KRU. Ia bukan sekadar ikonik, tetapi terus mendominasi pentas hiburan tanah air. – BOOM!








