Watak Walid dalam drama Bidaah benar-benar mengangkat nama pelakon senior Faizal Hussein sehingga menjadi tular dan disebut-sebut bukan sahaja di Malaysia, malah hingga ke negara jiran, Indonesia.
Menurut laporan Utusan Online, Faizal, 57, meluahkan rasa terharu apabila menerima pelbagai mesej pujian daripada penonton muda Indonesia.
Kebanyakan mesej yang diterima adalah berkaitan lakonannya, dan mereka dilihat benar-benar menghargai mutu persembahan yang ditonjolkan.
Namun yang lebih mengejutkan, Faizal turut mendedahkan ada menerima mesej berunsur nakal daripada peminat wanita muda yang mahu menjadi ‘isteri batin’ kepadanya.
Faizal pada mulanya menyangka mesej-mesej itu sekadar gurauan, namun semakin lama dia sedar bahawa ramai yang benar-benar berminat terhadap dirinya.
Katanya, individu yang menghantar mesej bukan sahaja memanggilnya dengan nama watak, malah menggunakan nama sebenar beliau.
Faizal mengakui sedikit terkejut dengan perkara itu, namun kini hanya mampu ketawa apabila menerima mesej sedemikian.
Beliau juga berseloroh bahawa dirinya kini sudah sebaya dengan datuk kepada para peminat itu, namun masih ‘diganggu’.
Fenomena drama Bidaah turut memberi kesan kepada keluarganya apabila netizen mula menjejaki akaun media sosial anak-anaknya, Fazryn dan Fazrick.
Menurut Faizal, anak perempuannya tidak mengambil kisah perkara itu, namun anak lelakinya yang masih bersekolah menengah kelihatan kurang selesa dengan perhatian mendadak tersebut. – BOOM!