Media sosial kecoh apabila busana perkahwinan adik kepada pelakon terkenal Elfira Loy, iaitu Ezlisa Loy, didakwa meniru rekaan busana perkahwinan pempengaruh Ally Mukhriz, cucu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ezlisa yang baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama Hafiz Azizi pada 29 Jun lalu mengenakan busana songket biru muda yang disulam manik merah jambu rekaan Samm Republic.
Namun, ramai netizen mula membandingkan rekaan tersebut dengan busana tradisional Ally Mukhriz lima tahun lalu yang direka oleh pereka tersohor, Fizi Woo.
“Kenapa baju sama macam Ally Mukhriz?” tulis seorang netizen.
Menyedari adiknya menjadi sasaran netizen, Elfira tampil mempertahankan Ezlisa menerusi komen di Instagram dan juga aplikasi Threads dengan kenyataan pedas.
“What a joykiller. Patutlah kawan dengan…” tulisnya dengan nada sinis.
Dalam hantaran Ezlisa, Elfira menjelaskan bahawa inspirasi busana tersebut sebenarnya diambil daripada rekaan pereka fesyen antarabangsa, Michael Cinco.

“Michael Cinco ialah seorang legenda. Saya sentiasa menyukai rekaannya.
Dapat hasilkan busana hampir sama dengan rekaannya, terutama bahagian skirt dengan kombinasi labuci berbentuk bunga, sangatlah cantik Samm Republic,” jelas Elfira.
Tambahnya, matlamat utama hanyalah untuk kelihatan cantik pada hari bahagia.
“Apa-apa pun tujuan dia nak nampak cantik sahaja.
Setiap pengantin nak nampak cantik.
Bukan nak masuk pertandingan baju siapa paling cantik dan nombor satu,” tambah Elfira.
Sementara itu, pereka fesyen Fizi Woo turut memberi reaksi terhadap hantaran Ally.

“Masih menjadi rekaan yang paling saya banggakan. Penampilan yang sangat ikonik.
Mereka masih cuba untuk menirunya selepas separuh dekad,” katanya.
Sebagai info, majlis perkahwinan Ezlisa dan Hafiz berlangsung meriah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan tema tradisional moden. – BOOM!









