Pelakon jelita, Eyka Farhana kini sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung secara sederhana namun penuh bermakna pagi tadi.

Eyka atau nama penuhnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi turut berkongsi detik indah itu di Instagram, memuat naik beberapa foto dirinya yang kelihatan anggun menggayakan busana putih rekaan Teh Firdaus, ditemani keluarga serta rakan terdekat kedua-dua belah pihak.
Perkongsian tersebut dihujani ucapan tahniah daripada rakan artis dan para peminat. Ramai yang menitipkan doa agar pasangan ini kekal bahagia hingga ke syurga.
“Saya sangat bersyukur dan gembira. Semoga ini menjadi permulaan baru yang indah untuk kami,” tulis Eyka ringkas di Instagram.
Untuk rekod, Eyka dan Akhyar telah mengikat tali pertunangan Ogos lalu dalam sebuah majlis tertutup selepas menjalin hubungan sejak tahun 2020.
Selamat pengantin baru buat Eyka & Akhyar! – BOOM!










