Oleh: Ainn Ismahani
Bagi penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima, dunia perfileman bukan berperanan sekadar menghibur tetapi menjadi medium yang boleh menggerakkan empati dan menyuarakan nilai kemanusiaan termasuk kisah kesengsaraan Palestin.

Beliau berkata, gabungan visual dan emosi dalam sesebuah karya mampu memberi kesan mendalam kepada penonton, jauh melangkaui apa yang boleh disampaikan melalui laporan berita atau media sosial.
“Sejak dahulu, filem dan drama menjadi alat untuk membuka mata masyarakat terhadap pelbagai isu sama ada sosial, moral atau kemanusiaan. Ia sudah lama berlaku dan memberi impak besar kepada penonton,” katanya kepada Boom!

Bagaimanapun, Erma, 57, mengakui bahawa bukan mudah untuk menghasilkan karya yang mengangkat isu Palestin kerana kekangan bajet serta keterbatasan lokasi penggambaran.
“Kita tidak boleh jalankan penggambaran di Gaza kerana keadaan tidak mengizinkan. Banyak lokasi rekaan perlu dibina, ini memerlukan dana yang tinggi,” jelasnya.

Beliau menambah, inspirasi untuk menghasilkan kisah perjuangan Palestin timbul selepas menonton filem Indonesia berjudul Gaza, namun hasrat itu terpaksa disimpan buat sementara waktu akibat kekangan kewangan. –Boom!









