Pelakon Uqasha Senrose dan Kamal Adli kini berada di persimpangan berbeza dalam rumah tangga mereka.

Uqasha, yang mendirikan rumah tangga dengan Kamal pada 1 Oktober 2018 dan dikurniakan seorang anak, kini nekad untuk bercerai setelah tempoh perkahwinan selama empat tahun.
Buat pertama kali selepas selesai sebutan ketiga permohonan perceraiannya di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi tadi, Uqasha tampil menjelaskan kepada media bahawa beliau telah berusaha memperbaiki rumah tangga, termasuk berbincang dengan keluarga Kamal, namun tiada perubahan berlaku.

“Saya sudah cuba sedaya upaya untuk memperbaiki rumah tangga ini. Saya juga pergi kepada keluarga suami untuk membantu memulihkan hubungan, namun tiada perubahan berlaku. Saya masih ada keluarga dan adik-beradik yang memberi pandangan. Selepas peluang itu disia-siakan, saya rasa terbaik untuk saya dan anak saya memilih jalan ini. Saya mahu selamatkan diri dan anak saya daripada kemudaratan fizikal dan mental,” katanya dipetik BH Online.

Sebelum ini, Uqasha memfailkan perceraian pada 1 Oktober di bawah Seksyen 47 atas alasan tiada persefahaman, setelah tiga prosiding dijalankan.

Sementara itu, Kamal Adli dilaporkan masih teguh mempertahankan rumah tangga mereka, menunjukkan pendirian yang berbeza tetapi jelas dalam menghadapi kemelut ini. –Boom!









