Pelakon dan pengacara Elly Mazlein, 45, mengakui beliau pernah ditawarkan bayaran lumayan hampir setengah juta ringgit dengan bersyarat.

Katanya, syarat utama untuk kontrak itu adalah dia perlu menanggalkan tudung.
“Saya dapat tawaran masa mula-mula berhijab dulu. Memang lumayan, sampai setengah juta ringgit, tetapi syaratnya saya perlu buka tudung,” katanya.

Bagaimanapun, Elly tetap dengan pendiriannya untuk kekal berhijab dan menolak tawaran tersebut.
“Apabila saya buat keputusan untuk bertudung, walaupun dibayar macam mana sekali pun, saya tetap dengan keputusan saya.
“Mereka tahu saya sudah bertudung, sebab itu mereka letak harga setengah juta. Tapi saya beritahu saya tak dapat bekerjasama kalau perlu buka tudung.
“Sekiranya mereka mahu saya jadi duta, prinsip saya tetap akan memakai tudung. Saya percaya akan ada rezeki untuk saya di tempat lain,” katanya.

Elly turut memberitahu bahawa dia cuba menolak tawaran tersebut dengan cara yang berhemah dan pihak yang menawarkan tawaran menerima keputusan Elly.
Malah, Elly turut berpesan supaya mana-mana syarikat tidak memandang rendah kepada keupayaan wanita bertudung sebagai duta produk.

Tegas Elly lagi, tidak salah memilih duta berhijab serta menganggap rezekinya bukan di syarikat tersebut.
Beliau turut mengekalkan prinsipnya yang kekal bertudung sekarang.
“Yang penting sekarang, saya kekal dengan prinsip saya untuk terus berhijab,” katanya. – BOOM!









