Pelakon dan pengacara popular, Elly Mazlein, kekal tenang menghadapi teguran segelintir netizen mengenai gaya bertudungnya.

Bagi Elly, setiap individu mempunyai proses perubahan yang berbeza, dan dia memilih untuk kekal dengan gaya yang membuatkan dirinya selesa dan yakin, tanpa perlu mengikut kehendak orang lain.
“Assalamualaikum, ramai bagi sokongan pada Sharifah. Terima kasih dan Sharifah amat menghargai. Tapi ada juga yang minta Sharifah tukar gaya tudung.
Sharifah terima semua pendapat dan menghargai. Tapi Sharifah akan pakai tudung cara Sharifah pakai sekarang ini kerana selesa,”
katanya di media sosial.
Pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina itu sebelum ini dilaporkan mengambil keputusan berhijab bukan sekadar perubahan imej semata-mata.

Menurut Elly, keputusan tersebut lahir daripada keinsafan selepas menyaksikan perjuangan sukarelawan dalam misi Global Sumud Flotilla ke Gaza baru-baru ini.

Katanya, detik tersebut benar-benar menyentuh hatinya dan membuatkan dia lebih menghargai makna pengorbanan serta semangat jihad sebenar yang ditunjukkan oleh para pejuang di sana.

Dengan pendekatan tenang dan matang, Elly Mazlein sekali lagi membuktikan dirinya seorang wanita berhijab yang berpendirian dan yakin dengan pilihan sendiri. – BOOM!










