Pelakon dan pengarah terkenal, Ellie Suriaty, memberi kata dua kepada pempengaruh media sosial, Imran Bard agar tampil bersemuka dan memohon maaf atas kandungan TikTok yang didakwa mencalarkan imejnya. Ellie, 54, menegaskan bahawa dia memberi tempoh sehingga Aidilfitri untuk Imran menemuinya, atau bersedia berdepan tindakan lanjut.
“Saya tidak akan senyapkan benda ini. Tak boleh. Bila namanya pempengaruh, dia akan mempengaruhi masyarakat, sama ada untuk perkara baik atau buruk. Dalam kes saya ini, ia lebih kepada buruk kerana saya menerima mesej yang menghina rupa saya, menggelar saya pelakon sendu dan pelbagai konotasi negatif lain,” katanya.
Ellie turut mendedahkan bahawa Imran sepatutnya bertemu dengannya sebelum Ramadan, tetapi menangguhkan pertemuan atas alasan berada di kampung.
“Saya beri tempoh hingga Aidilfitri. Kalau masih berdegil, saya serahkan kepada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Mengulas tentang kemungkinan tindakan undang-undang, Ellie berkata tiada nilai wang yang mampu menggantikan maruahnya yang tercalar akibat kontroversi ini.
“Selama tiga dekad saya bekerja keras untuk berada di tahap ini. Reputasi yang saya bina tercalar hanya kerana satu video. Berapa nilai yang hendak diletakkan? RM200,000? RM500,000? RM1 juta? Saya adalah anugerah Allah SWT,” tegasnya.
Selain itu, Ellie turut menegaskan bahawa permohonan maaf perlu dibuat secara berdepan, bukan sekadar menerusi telefon atau media sosial.
“Agama Islam tak ajar kita minta maaf melalui telefon. Kalau betul nak minta maaf, kena jumpa saya sendiri. Dari situ, saya akan nilai sama ada dia ikhlas atau hanya takut kena hentam,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Imran Bard atau nama sebenarnya Muhammad Al Imran Badaruddin telah memohon maaf menerusi Instagram Story (IGs) dan menjelaskan bahawa dia menyebut nama Ellie secara spontan tanpa niat jahat. Namun, permohonan maaf itu nampaknya belum cukup bagi Ellie.
Apakah Imran akan tampil bertemu Ellie atau terus berdiam diri? Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut isu ini. – BOOM!