Penyanyi lagu popular Bey Soba Bey, Eda Ezrin, pasrah menyambut Hari Raya Aidilfitri di Penjara Narathiwat, Thailand.
Walaupun sudah dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda, Eda atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, masih belum dibenarkan pulang ke Malaysia.
Menurut laporan Kosmo!, tempoh untuk pihak pendakwa raya mengemukakan rayuan masih belum tamat.
“Tempoh untuk mereka mengemukakan rayuan akan tamat awal bulan depan. Saya amat berharap pendakwa raya tidak mengemukakan rayuan tersebut.
Bagaimanapun, saya sangat rasa syukur selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini membebaskan saya, suami dan empat lagi rakan daripada tuduhan dadah.
Tolong sampaikan salam buat semua termasuk peminat, insya-Allah lepas keluar dari sini (penjara) saya akan teruskan kerjaya seni sebagai penyanyi,” luahnya dari sebalik tirai besi.
Pada 6 Mac lalu, Eda bersama suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, serta empat rakan mereka — Mohamad Alif Deraman, Nur Aida Mamat, Erdeka Mohd Noor dan Zuhaira Nasrin dibebaskan selepas mahkamah berpuas hati dengan semua keterangan saksi.
Terdahulu, Eda dan lima rakannya ditahan pada 1 November 2023 bersama 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok. Mereka dipercayai baru pulang dari pusat hiburan sebelum dicekup.
Pada 4 November, permohonan ikat jamin mereka ditolak oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat kerana bimbang akan melarikan diri. – BOOM!