Drake nampaknya sudah ‘move on’ dari persengketaannya dengan Kendrick Lamar. Dalam album terbaru $ome $exy $ongs 4 U, yang dilancarkan sempena Hari Valentine, rapper Kanada itu secara halus menyentuh tentang ‘rap beef’ mereka.
Dalam lagu Gimme a Hug, Drake memulakan lirik dengan, “Drake elimination, fake intimidation,” yang dipercayai sebagai reaksi kepada kenyataan Kanye West tahun lalu yang mahu melihat kejatuhannya sebagai artis teratas.
Drake turut menyindir lawannya dengan baris, “You Neo in the matrix, these n—– just Nemo in the ocean.” Sebelum ini, penyanyi One Dance itu juga pernah memakai hoodie dengan kesan peluru palsu ketika konsert di Australia, seolah-olah menegaskan bahawa dia masih bertahan walaupun dihujani serangan.
Namun, bahagian paling mencuri perhatian ialah apabila dia menutup lagu dengan baris, “F**k a rap beef, I’m tryna get the party lit.” Lirik ini dipercayai ditujukan kepada Lamar, yang baru-baru ini tersenyum sinis ke arah kamera ketika menyebut nama Drake dalam persembahan Super Bowl.
Sebelum ini, Lamar mencipta kontroversi besar apabila dalam lagu Not Like Us, dia secara terbuka menuduh penyanyi Hotline Bling itu sebagai seorang pedofil.
Bagaimanapun, reaksi peminat terhadap album terbaru Drake bercampur-baur. Adakah ini tanda Drake benar-benar melupakan persengketaan lamanya, atau sekadar strategi sebelum ‘peperangan’ seterusnya? – BOOM!