Kumpulan Dolla kini jadi tumpuan selepas MV terbaru mereka, Question, diturunkan dari YouTube kerana dianggap “terlalu mencolok mata”.

Isu itu terus membuat peminat risau, lebih-lebih lagi dengan konsert mereka, Dolla: Good Girls Gone Bad, yang dijadualkan berlangsung 6 Disember ini di Idea Live Arena.
Bagaimanapun, Penganjur konsert dan penyanyi, Sufi Rashid, memberi jaminan konsert tetap diteruskan seperti dirancang.
“Memang ada beberapa orang sudah mula bertanya tentang konsert Dolla sebab isu yang sedang tular sekarang… tapi kami hanya menjalankan tugas sebagai penganjur.” kata Sufi dipetik Mstar.

Menurut beliau, semua persiapan dilakukan mengikut prosedur sewajarnya, dan keputusan penting kini diserahkan kepada Universal Music Malaysia (UMM).
Terdahulu, tindakan menarik balik video muzik (MV) berlaku selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan sedang meneliti kemungkinan tindakan terhadap selebriti Islam berpakaian mencolok mata.

Susulan itu, UMM telah menarik semula MV Question dari semua platform digital dan menegaskan komitmen mereka terhadap nilai budaya dan sensitiviti agama.

Walaupun kontroversi mencetuskan kekecohan, Sufi yakin peminat tetap boleh menikmati konsert nanti.
Dengan persiapan berjalan lancar, Dolla tetap tampil di konsert, walaupun MV diturunkan oleh kerana isu sensitif. -Boom!









