Justin Baldoni, pelakon dan pengarah terkenal menerusi Jane the Virgin dan filem It Ends With Us, kini berdepan ujian besar dalam hidupnya yang melibatkan krisis rumah tangga serta tuntutan mahkamah yang difailkan oleh rakan pelakonnya, Blake Lively.
Menurut laporan PEOPLE, Justin dan isterinya, Emily Baldoni, sedang melalui fasa sukar dalam perkahwinan mereka. Namun begitu, pasangan yang telah mendirikan rumah tangga sejak 2013 itu masih teguh bersama dan saling menyokong antara satu sama lain.

“Drama tuntutan ini memang memberikan tekanan kepada mereka berdua, tetapi perkahwinan mereka masih kukuh dan sebenarnya mereka semakin rapat,” kata seorang rakan keluarga kepada media tersebut.
Justin dilaporkan lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga dan bergantung kepada pegangan agamanya untuk terus kuat. Dia juga dikatakan “bersandar kepada sekumpulan kecil sahabat setia” bagi menghadapi dugaan ini.

Dalam perkembangan kes, Blake Lively telah memfailkan tuntutan terhadap Justin dan beberapa individu lain pada Disember 2024, mendakwa berlaku gangguan seksual dan tindakan balas dendam.
Justin menafikan semua tuduhan tersebut dan telah memfailkan saman balas terhadap Lively, suaminya Ryan Reynolds serta beberapa yang lain, mendakwa mereka melakukan pemerasan dan fitnah.

Walaupun tekanan emosi dan kewangan semakin terasa, Baldoni tetap memilih untuk kekal positif. Perbicaraan dijangka berlangsung pada Mac 2026. – BOOM!










