Isteri kepada pelakon terkenal Shukri Yahaya, iaitu Tya Adnan tampil memberi penjelasan selepas ada segelintir netizen mempersoalkan kemunculannya di media sosial walaupun sudah berniqab.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Tya atau nama sebenarnya Siti Nurfatihah Ahmad Adnan, 33, menegaskan bahawa kehadirannya di media sosial bukanlah bertujuan mengejar populariti seperti didakwa, sebaliknya untuk menormalisasikan syariat Islam.

“Mereka kata, ‘Kalau dah berniqab, duduk rumah diam-diam. Tak perlu post di media sosial’.
Tapi kalau semua wanita berniqab diam, siapa yang nak normalisasikan pakaian yang Allah redha?” katanya.
Tya turut menegaskan, niat utamanya adalah untuk membantu generasi akan datang mengenali dan menerima pakaian patuh syariah seperti niqab.
“Kami bukan muncul untuk populariti. Kami muncul untuk menormalisasikan syariat.
Bukan untuk populariti. Tapi untuk generasi,” ujarnya lagi.

Rata-rata pengguna media sosial memberikan sokongan terhadap kenyataan Tya dan menganggap langkahnya satu bentuk perjuangan yang wajar dipuji. – BOOM!










