Mahkamah Persekutuan California pada Isnin memutuskan bahawa filem animasi popular “Moana” tidak melanggar hak cipta seperti yang didakwa oleh seorang penulis dan animator, Buck Woodall.
Juri menolak dakwaan bahawa Disney meniru skrip, papan cerita, dan elemen lain daripada filem animasi perancangan Woodall berjudul “Bucky“, yang berkisarkan seorang remaja peluncur yang mengembara ke zaman Polinesia purba.
Menurut peguam Disney, “Pembuat ‘Moana’ tidak pernah melihat bahan Woodall, dan kedua-dua karya itu tidak cukup serupa untuk menyokong tuntutan hak cipta.“
Woodall, yang kini menetap di Baja, Mexico, dan Taos, New Mexico, mendakwa telah berkongsi bahan untuk projek “Bucky” dengan eksekutif filem, Jenny Marchick, sejak awal 2000-an.
Menurut tuntutannya, Woodall menghantar draf akhir skrip kepada Marchick pada 2011, dan mendakwa bahawa eksekutif itu telah menyerahkan bahan tersebut kepada Disney tanpa kebenarannya.
Woodall menuntut sekurang-kurangnya $100 juta dalam ganti rugi, namun kes itu akhirnya hanya melibatkan bahagian pengedaran video rumah Disney, Buena Vista Home Entertainment, selepas mahkamah menolak tuntutan berkaitan tayangan pawagam.
Peguam Woodall, Gustavo Lage, mengakui kecewa dengan keputusan itu dan sedang mempertimbangkan pilihan selanjutnya.
Selain kes ini, Woodall turut memfailkan satu lagi saman pada Januari lalu berhubung filem sekuel “Moana 2“, menuntut $10 bilion atas dakwaan pelanggaran hak cipta.
Setakat ini, Disney belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai kemenangan mereka dalam kes ini. – BOOM!