Sejak dikaitkan dengan pelakon popular Fattah Amin, nama penyanyi Amira Othman semakin mendapat tempat di hati peminat.
Meskipun pernah ‘tumpang populariti’ aktor tersebut, Amira kini bangkit dengan lebih yakin untuk membina semula kerjaya nyanyiannya.
Amira, 32, atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, mengakui tidak mahu terus dikenali hanya sebagai duta produk.
Dia kini sedang merancang untuk melancarkan lagu baharu serta mengadakan showcase pertama pada bulan Ogos ini.
“Saya harap orang kenal saya sebagai penyanyi.
Nama saya masih kecil dalam industri, tapi saya harap orang hargai saya,” ujarnya.
Menariknya, Amira kini berada di bawah pengurusan Fattah Amin Management. Menurutnya, Fattah sendiri yang menawarkan diri untuk menguruskan kerjayanya.
“Fattah yang lamar saya sebab dia tahu saya nak buat sesuatu.
Dia nak bantu dan dia ada pengalaman serta pasukan yang kuat,” jelas Amira.
Anak kelahiran Skudai, Johor itu turut berkongsi keterujaannya terhadap showcase yang bakal dianjurkan.
“Impian saya nak buat showcase ini dah lama, tapi saya tak pernah yakin.
Kali ini, ada orang yang percaya dan beri sokongan.
Jadi saya teruja nak kongsikan. Perancangannya pada Ogos ini,” katanya.
Dengan semangat baharu dan pengurusan yang lebih tersusun, Amira kini dilihat lebih bersedia untuk mengukuhkan kembali nama dalam industri hiburan tanah air. – BOOM!









